Sebelum memohon pinjaman rumah, anda harus ingat bahawa ada kemungkinan pinjaman anda ditolak disebabkan oleh nisbah pembiayaan hutang (DSR). Ini kerana setiap bank mempunyai had DSR yang berbeza. 

 

Apakah itu DSR?

Nisbah pembiayaan hutang, juga dikenali sebagai Debt Service Ratio (DSR) adalah nisbah jumlah hutang seseorang kepada pendapatan isi rumahnya. Ia mengukur keupayaan seseorang untuk melangsaikan  hutang mereka. DSR adalah salah satu daripada tiga komponen utama profil risiko anda; yang juga merupakan  faktor utama yang digunakan oleh bank untuk menentukan kemampuan pinjaman anda.

Dua komponen lain adalah rekod CTOS dan juga CCRIS. Faktor-faktor lain yang diambil kira oleh bank adalah penilaian hartanah pilihan anda serta nilai maksimum nisbah Margin Pembiayaan (LTV) / Margin Kewangan yang anda miliki. Artikel ini akan menerangkan DSR dengan  lebih lanjut

 

Bagaimana DSR mempengaruhi kelayakan pinjaman rumah saya?

Sekiranya anda ingin membeli sesebuah rumah di Malaysia, DSR anda pada amnya tidak boleh melebihi 70%. Sesetengah bank bahkan menetapkan had peratusan DSR yang lebih rendah. Hal ini akan dijelaskan di perenggan bawah dengan lebih lanjut.

 

Bank menggunakan DSR anda untuk menentukan berapa banyak pendapatan anda yang akan digunakan untuk membayar pinjaman dan hutang-hutang lain. DSR juga digunakan untuk menentukan sama ada anda mampu untuk mengambil pinjaman perumahan yang anda mohon. Pihak bank lebih tertarik akan DSR yang rendah kerana ianya menunjukkan bahawa anda mampu memberi komitmen terhadap ansuran bulanan. Selain itu, risiko terhadap peminjam adalah rendah dimana pihak bank yakin anda akan membayar hutang tepat pada waktunya.

 

Malangnya, ramai rakyat Malaysia tidak berjaya dalam permohonan pinjaman perumahan kerana DSR mereka sering lebih tinggi daripada had DSR maximum yang diterima oleh sesuatu bank itu. Tidak hairanlah bahawa kadar kelulusan pinjaman untuk pembelian hartanah merosot sedikit kepada 71.3% pada tahun 2018. 

 

Kredit

Rohenjit Singh, https://www.iproperty.com.my