HALA TUJU PEMBANGUNAN PERUMAHAN NEGARA

 

Berpandukan kepada permasalahan yang wujud serta bagi mematuhi strategi, matlamat dan objektif-objektif yang dihasratkan dalam dasar-dasar pembangunan negara, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian dan ditambah baik dalam proses perancangan perumahan. Pembangunan perumahan masa depan perlu menerap, memantap dan mencapai aspek-aspek berikut:

(i) Penawaran Perumahan – mencukupi untuk setiap isi rumah, mampu dimiliki dan mengambilkira permintaan sebenar pelbagai golongan penduduk dari sudut kemampuan pendapatan dan mampu bayar serta pilihan-pilihan jenis, harga dan lokasi;

(ii) Intensiti Pembangunan – di kawasan yang ditetapkan, pembangunan perumahan adalah secara kegunaan bercampur (mixed use), berkepadatan tinggi dan berorientasikan transit;

(iii) Binaan Bangunan Perumahan - berkualiti, innovatif dan berkonsepkan bangunan hijau dan teknologi hijau;

(iv) Susun Atur Pembangunan - berkonsepkan kejiranan hijau, selamat dan bebas daripada ancaman jenayah, bertema dan beridentiti serta mempunyai jaringan hijau yang menyeluruh dan berkesinambungan;

(v) Kemudahan Awam – mencukupi, berkualiti, mudak akses, mesra penggunaan kepada golongan OKU, warga emas dan kanak-kanak dan teragih secara cekap di dalam susun atur pembangunan;

(vi) Sistem Perhubungan – pengangkutan awam menjadi mod utama perjalanan luaran, manakala berjalan kaki dan berbasikal menjadi budaya dalam perhubungan di sekitar unit-unit kejiranan (walkable community) dan

(vii) Komuniti - kejiranan yang berinteraksi, mesra, sejahtera, sihat dan aktif. Matlamat akhir pembangunan perumahan yang perlu digemblingkan oleh semua pihak yang terlibat dalam proses perancangan, pengawalan dan pelaksanaan adalah untuk menjadikan kawasan perumahan sebagai tempat yang selesa untuk tinggal, bekerja, belajar dan berekreasi serta untuk tujuan beribadat

 

Dasar Perbandaran Negara

DPN yang digubal pada tahun 2006 telah memberi penekanan kepada keperluan mewujudkan persekitaran bandar yang kondusif dan sejahtera serta beridentiti (Teras 5). Bagi memenuhi teras ini, DPN telah menggariskan satu dasar khusus perkaitan pembangunan perumahan iaitu `Kemudahan Perumahan Yang Mencukupi Perlu Disediakan Berasaskan Keperluan Penduduk’ (DPN 21). Terdapat beberapa langkah yang dicadangkan bagi mencapai dasar ini sebagaimana berikut:

(i) Mempelbagaikan jenis dan kategori rumah mampu milik dan mampu bayar serta reka bentuk berkualiti di lokasi bersesuaian;

(ii) Mensasarkan matlamat 1 unit rumah bagi 1 isi rumah;

(iii) Mensasarkan matlamat setinggan sifar pada tahun 2020;

(iv) Mengenal pasti perletakan kawasan perumahan awam (kos rendah) yang sesuai di dalam rancangan pemajuan;

(v) Memastikan lokasi perumahan awam berdekatan dengan tempat kerja, mempunyai aksessibiliti yang baik dan dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan awam yang lengkap; dan

(vi) Mengambil kira keperluan golongan OKU dan warga emas dalam perancangan perumahan.

 

Sumber :

Garis Panduan Perancangan Perumahan, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia 

KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN